MINGGU PERTAMA DI UKM ( AININA )
Cerita pula mengenai pengalaman saya di UKM. Bagi saya, UKM adalah satu titik permulaan baru saya di tempat yang sangat luar biasa. Fasiliti yang lengkap, peraturan yang fleksible, kemudahan bas sepanjang 30 minit dan banyak lagi kebaikan di UKM ni. Selepas selesai pendaftaran online kami boleh memasuki kampus pada 8/10/2022 untuk menjalani Minggu Aspirasi Watan MAW iaitu merupakan minggu orentasi bagi pelajar baru selama 4 hari. Tempat pertama yang saya kunjungi adalah kolej saya iaitu Kolej Tun Hussein Onn. Kolej ini merupakan kolej pertama dalam UKM orang kata kolej pertama dalam semua. Impresi saya terhadap kolej saya adalah serba lengkap. Semua kemudahan di kolej saya adalah sangat memenuhi keperluan saya untuk tinggal disini.
Pada hari pertama saya di UKM kami semua diminta untuk berkumpul di dewan cafe selepas mengemas barang-barang di bilik. Aktiviti pertama yang kami jalani ialah pembentukan kumpulan antara semua pelajar baru. Dalam kata lain aktiviti ni boleh kata macam ice breaking antara semua pelajar baru. Selesai aktiviti itu kami dibenarkan ke bilik untuk membersihkan diri dan solat maghrib dan isyak. Malam selepas itu kami diarahkan untuk sekali lagi ke dewan untuk sesi mengenali kolej Tun Hussein Onn. Dalam sesi ini, kami diterangkan mengenai peraturan - peraturan kolej yang harus dipatuhi dan mempelajari cheers kolej untuk persiapan perang dectar pada hari terakhir minggu orentasi kami dimana saya akan terangkan mengenai perang tersebut nanti hehe.
Hari kedua saya disini pukul 6 pagi kami telah diminta untuk berkumpul di dewan cafe untuk bersarapan. Hari tersebut kami ke Dewan Canselor Tun Abdul Razak DECTAR untuk sesi pengenalan Universiti Kebangsaan Malaysia. Jarak antara kolej saya dengan DECTAR ni tak jauh mana pun boleh jalan dalam 5 min je alhamdulillah tak perlu tunggu bas dan sebagainya. Sesi ini kami diterangkan dengan pelbagai sistem - sistem yang digunakan di UKM sehingga masuk waktu zohor. Selepas Zohor, kami diminta untuk ke cafe dewan untuk latihan cheers lagi sekali sampai asar dan seterusnya maghrib dan isyak bersiapkan diri untuk aktiviti malam yang seterusnya. Untuk aktiviti malam ni pula, kami sekali lagi ke DECTAR untuk aktiviti yang berlangsung disana. Aktiviti malam tu kami dapat berpeluang untuk berjumpa dengan alumini - alumni UKM yang telah membanggakan UKM. Ramai sangat alumni yang telah menunjukkan hasil yang tak tertanding kehebatannya.
Masuk hari ketiga, sekali lagi kami diminta untuk ke dewan cafe kolej untuk bersarapan dan berkumpul pada awal pagi 6 a.m. Untuk aktiviti pagi hari itu, kami melawat ke fakulti masing masing untuk aktiviti bersama fakulti. Memandangkan saya mengambil keusahawanan saya merupakan pelajar bawah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Perjalanan kami ke fakulti hanyalah berjalan kaki selama 15 minit. Kami diterangkan pula mengenai sistem sistem di fakulti di dalam dewan kuliah mengikut kolej sehingga waktu zohor dan kami diminta untuk menunaikan zohor di fakulti. Selepas zohor merupakan sesi ice breaking antara pelajar bawah fakulti ini. Sehingga selesai aktiviti terakhir di fakulti, kami bergerak pulang ke kolej semula dan bersiap untuk aktiviti malam. Pada aktiviti malam itu pula, kami ke masjid UKM iaitu Masjid Universiti untuk mengadakan aktiviti kerohanian. Kami solat maghrib dan isyak berjemaah dan seterusnya mendengar ceramah daripada penceramah yang terkenal yang sering ke program- program ceramah. Sehabis aktiviti pada hari itu kami pun berjalan pulang ke kolej. Perjalan kami ke kolej dari masjid hanya mengambil masa 10 minit.
Pada hari yang terakhir, juga merupakan hari terakhir kami diminta untuk bersiap dan berkumpul pada awal pagi untuk bersarapan. Kami pelajar baru diminta untuk memakai pakaian seragam berwarna biru untuk sesi serah amanah. Selesai bersarapan kami ke DECTAR untuk sesi itu. Pelbagai persembahan dan ilmu telah disajikan dalam sesi formal yang terakhir itu. Sesi pagi itu tidak mengambil masa yang lama pun tepat waktu zohor kami dibenarkan pulang ke kolej untuk aktiviti di kolej. Petang itu merupakan aktiviti kegemaran saya iaitu aktiviti sukaneka. Kami dibahagikan kepada kumpulan dan kami perlu melengkapkan 5 aktiviti sepantas yang boleh. Kumpulan yang mecatatan masa yang terpantas adalah dikira sebagai pemenang. Aktiviti yang perlu dibuat sangat mencabar dan menarik membuatkan saya masih teringat. Selesai beraktiviti sukaneka yang pertama kami selepas masuknya waktu asar dan seterusnya meneruskan aktiviti sukaneka yang seterusnya di padang UKM. Padang UKM terletak tak jauh dari kolej saya iaitu hanya 10 min berjalan. Di padang sekali lagi membuat aktiviti yang menyeronokan di tempat yang luas. Kami bermain aktiviti yang lebih lasak yang melibatkan larian dan pergerakkan yang lasak. Kami bermain belon air bersama sama pemudah pemudah cara kolej kami. Keseronokkannya masih lagi saya ingat. Kami di padang sehingga sebelum maghrib dan dalam perjalanan pulang kami dapat melihat matahari terbenam di UKM.
Aktiviti yang terakhir yang juga merupakan highlight pada minggu itu ialah perang dectar. Selepas maghrib dan isyak, kami bergerak ke DECTAR buat kali terakhir untuk sesi yang terakhir iaitu sesi disini lahirnya sebuah cinta dimana pelbagai persembahan yang menarik ditunjukkan. Pentas nyanyian, joget, band akustik dan band alatan tradisional dalam satu pentas merupakan pengalaman pertama saya untuk menyaksikan pentas berprestij seperti itu. Selain itu, persembahan gimik sketsa juga dipertunjukkan oleh kakak-kakak dan abang-abang pelajar tahun 2 dan 3. Malam ini juga merupakan malam kegemaran saya kerana saya sangat seronok melihat pentas - pentas yang di persembahkan. Selesai persembahan pada sesi malam itu, diteruskan pula dengan perang dectar. Kalau dengar perang di dewan antara kolej masing-masing kan saya sendiri tak dapat untuk bayangkan macam mana perang itu dijalankan sebab ha? Perang macam mana tu?? Ha kan tadi saya dah cerita kami berlatih cheers kolej kami dua ke tiga kali jugaklah kan? Itulah yang kami perangkan. Masih tak faham? Saya cuba descibe dulu ya suasana malam tu macam mana. Bayangkan dewan besar, 5,000 orang pelajar, lampu yang terhad, marching band, semangat yang memenuhi satu dewan dan paling penting laungan cheers yang penuh semangat dari tempat duduk kolej masing masing di kiri kanan depan belakang. Meremang bulu roma saya malam itu walaupun bukan perkara yang menakutkan ke apa tapi semangat yang saya dapat rasakan dari setiap seorang di dewan tersebut saya tak boleh lupakan.
Sekian sahaja pengalaman saya di UKM selama 4 hari. Pengalaman yang sangat luar biasa bagi saya dan akan saya ingati selama yang saya boleh. UKM merupakan satu titik permulaan yang sangat baik bagi saya untuk memulakan ijazah saya. Saya berpuas hati dengan keputusan saya untuk memasuki UKM untuk memperolehi sijil ijazah saya.
Comments
Post a Comment