MINGGU PERTAMA DI UKM ( SARAH AYU )

8 Oktober 2022 merupakan hari yang bersejarah dalam hidup saya kerana buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki di  Universiti Kebangsaan Malaya (UKM) sebagai seorang mahasiswi baharu bagi sesi 2022/2023. Saya tiba di UKM sekitar jam 4 petang iaitu sedikit lebih lambat berbanding dengan pelajar lain kerana jarak antara rumah saya dengan UKM tidaklah terlalu jauh. Saya masuk ke UKM melalui pintu 2 dimana agak jauh dari kolej kediaman saya iaitu Kolej Aminuddin Baki jika dibandingkan dengan laluan pintu 1. Saya berikan tabik hormat kepada semua petugas dan pelajar tahun 2 yang memudahkan proses pendaftaran menjadi lebih cepat dan lancar. Setibanya saya dikolej kediaman, keluarga serta seorang pelajar yang bertugas pada hari tersebut membantu saya untuk membawa barang-barang saya ke bilik. Disebabkan oleh saya tiba agak lambat di UKM, jadi saya perlu bergegas untuk bersiap dan turun ke bawah di tapak berkumpul untuk program pertama pada jam 4:30 petang. Sebelum aktiviti pertama berlangsung, kami diberi sehelai baju kolej, baju UKM, beg dan selendang putih oleh para pelajar yang bertugas. Hari pertama bagi Minggu Apresiasi Watan (MAW) cukup melelahkan bagi saya kerana dua hari sebelum tiba di UKM saya masih bekerja separuh masa di Dunkin Donut Stesen LRT Abdullah Hukum. Tiada masa rehat untuk saya mempersiapkan mental saya kerana terpaksa bekerja atas faktor-faktor tertentu yang tidak dapat dielakkan . Hati kecil saya menangis ingin pulang ke rumah kerana keadaan mental dan fizikal yang masih belum bersedia dan penat. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah hari pertama MAW berjalan dengan lancar dan saya berjaya melaluinya . 


Sepanjang minggu MAW berlangsung, banyak aktiviti yang dijalankan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar tahun satu dengan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP), felo kolej dan juga dengan pelajar lain yang berbeza dari segi jurusan mahupun fakulti . Pelbagai jenis ragam dan perwatakan orang yang saya kenali selama minggu MAW berlangsung . Tidak dapat dinafikan , walaupun minggu MAW yang di jadualkan untuk kami terlalu padat tetapi banyak kegembiraan yang tercipta disetiap aktiviti-aktiviti tersebut. Setiap hari kami diminta untuk berkumpul di khemah seawal jam 6:50 pagi yang mengharuskan kami untuk bangun tidur pada jam 5:30 pagi untuk bersiap-siap. Aktiviti pertama yang biasa dilakukan adalah solat subuh berjemaah di surau kolej dan selepas itu kami akan sarapan bersama di khemah. Saya amat berpuas hati kerana semua makanan yang disediakan sangat sedap. Biasanya, aktiviti kami akan bermula jam 7 pagi sehingga jam 6 petang . Setelah itu kami akan dibenarkan pulang ke bilik untuk bersiap sedia untuk aktiviti disebelah malam pula. Sekitar jam 7:30 malam kami diharuskan untuk berada semula di khemah tempat kami biasa berkumpul. Walaupun aktiviti malam kami habis awal sekitar jam 11 malam , tetapi kami biasanya akan dilepaskan untuk pulang berehat ke bilik masing-masing pada jam 1 pagi. Boleh dikatakan sepanjang minggu MAW berlangsung saya dan pelajar yang lain hanya dapat tidur 3 jam sahaja. Jadi tidak hairanlah jika ada pelajar yang tertidur semasa program berlangsung terutamanya bagi program yang diadakan di dectar dimana keadaan dewan yang sejuk dan selesa. 




Pengalaman selama di UKM banyak memberikan warna baru dalam hidup saya. Misalnya, kami akan bersama-sama di khemah pada setiap waktu makan. Walaupun nampak seperti hal kecil, tetapi ia dapat mengeratkan hubungan antara para pelajar kerana kami akan terdorong untuk berinteraksi dengan orang disekitar kami. Jika tiada bas, kami akan bergerak ke dectar dengan berjalan kaki beramai-ramai tidak kira pada waktu petang mahupun malam. Perjalanan yang memakan masa 15 minit memberi saya peluang untuk melihat dan meneroka keindahan disekililing saya. Dapat saya simpulkan, kawasan UKM yang banyak pokok dan bangunan bangunan bersejarah membuatkan suasana menjadi lebih tenang dan damai. Semasa berada di dectar, rasa semangat dalam diri saya melonjak naik tinggi kerana saya sangat berharap agar dapat mengukir senyuman bangga pada wajah ibu bapa saya dengan keputusan yang cemerlang dan dapat naik ke pentas semasa majlis graduasi saya nanti. Ucapan dari Timbalan Canselor UKM membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang yang berjaya pada masa hadapan. Beralih kepada majlis malam kemanisan iman yang berlangsung dimajis UKM, banyak pengetahun baru yang kami semua peroleh. Saya sangat kagum melihat keadaan dalam masjid UKM yang sungguh indah dan cantik. Tidak hairanlah jika masjid tersebut bukan sahaja digunakan dalam kalangan pelajar, tetapi orang luar juga turut solat dan melakukan ibadah dimasjid ini . Kami semua juga diberi peluang untuk menaiki bas dan melihat betapa luasnya UKM yang terdapat 12 kolej kediaman yang cukup besar dan pelbagai jenis bangunan fakulti yang ada. Jika orang luar masuk ke UKM buat kali pertama, saya yakin mereka akan sesat kerana UKM sangatlah luas dan besar. Saya sangat berpuas hati dengan bangunan fakulti jurusan saya iaitu Fakulti Ekonomi dan Pengurusan kerana dewan kuliah dan bilik seminar yang sangat selesa untuk belajar.


Baiklah, mari saya ceritakan berkaitan aktiviti yang paling menyeronokkan sepanjang minggu MAW dan saya yakin pasti akan diingati oleh semua pelajar ialah Perang Dectar yang berlangsung pada hari rabu Perang Dectar merupakan aktiviti wajib yang diadakan pada malam terakhir sesi suai kenal pelajar baharu dimana setiap kolej akan bertanding sorakan kolej yang manakah paling meriah dan terbaik.  Bagi kolej yang paling terakhir keluar dari dewan dectar tersebut akan dianggap sebagai pemenang bagi perang dectar tersebut. Biasanya, kolej yang memenangi aktiviti perang dectar ini akan meninggalkan dewan sekitar jam 2 hingga 3 pagi. Saya yakin para pelajar pasti penat dan kehilangan suara mereka, tetapi inilah merupakan kenangan yang indah dan tidak mungkin terulang lagi. Saya juga mengambil beberapa video dan gambar sepanjang perang dectar berlangsung dan memuat naik peristiwa tersebut di akaun instagram peribadi saya. Semasa kemuncak perang dectar, kolej kami iaitu Kolej Aminuddin Baki diarahkan untuk pulang sekitar jam 12 malam oleh felo bertugas. Kami merupakan kolej kedua yang pulang pada ketika dan kami menaiki bas yang telah disediakan. Sebelum kami dibenarkan pulang ke bilik, kami diminta untuk mengisi borang aku janji terlebih dahulu. Pada keesokan harinya, khamis tepat jam 9 pagi kami semua turun ke khemah untuk aktiviti terakhir iaitu senamrobik dan gotong-royong. Itulah merupakan aktiviti terakhir kami bersama-sama sebelum kami semua akan sibuk dengan hal masing-masing. Pada akhirnya, rasa gembira dan semangat yang tinggi dalam diri membuatkan saya tidak sabar untuk menimba ilmu baru bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain.




Comments

Popular posts from this blog

MINGGU PERTAMA DI UKM ( AISYAH )

TEMPAT MENARIK DI UKM ( DANISH AQIL )