MINGGU PERTAMA DI UKM ( DANISH AQIL )

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

Saya ingin berkongsi serba sedikit tentang pengalaman yang telah saya hadapi dan rasai sepanjang keberadaan saya di UKM. Pada 8 Oktober 2022 adalah pertama kali saya menjejakkan kaki dengan penuh bangga ke dalam sebuah universiti yang ternama di Malaysia iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya dan keluarga menaiki bas yang disediakan untuk pelajar-pelajar yang baru mendaftar untuk dihantar ke kolej kediaman masing-masing. Saya ditempatkan di kolej yang dikenali sebagai Kolej Rahim Kajai dan di sana juga tempat untuk saya mendaftar sebagai pelajar mahasiswa baru UKM. Setelah selesai mengisi borang pendaftaran saya dan keluarga pergi ke bilik penginapan yang akan saya duduki selama 1 tahun pengajian. Kami sekeluarga menghias dan mengemas bilik tersebut bersama-sama dan akhirnya ahli-ahli keluarga saya yang lain pulang ke rumah. Pada saat ini, bermulalah kehidupan baru yang perlu saya tempuhi sepanjang tempoh pengajian saya di UKM. 

Pada minggu pertama di UKM, saya telah menyertai program orientasi yang dijalankan oleh pihak universiti untuk minggu pertama kemasukan. Program orientasi di UKM ini merupakan yang pertama dijalankan sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh negara. Minggu orientasi kami juga dinamakan dengan Minggu Apresiasi Watan (MAW).Pada hari pertama orientasi tersebut, program yang dijalankan adalah melibatkan kolej masing-masing dengan sesi pengenalan ahli-ahli kolej yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Razaleigh bin Muhamat @ Kawangit sebagai Pengetua Kolej Rahim Kajai. Bagi hari kedua orientasi iaitu pada 9 Oktober 2022 yang berhormat Prof.Dato’ Ts Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Timbalan Naib Canselor UKM telah memberi ucapan serta merasmikan minggu MAW di DECTAR. Pada hari yang sama juga terdapat program-program lain yang turut dijalankan iaitu sesi bersama Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Pusat Pengurusan Akademik, Pusat Pengajian Citra dan lain-lain. Terdapat juga slot bersama pihak PTPTN dijalankan pada hari tersebut. Slot ini amat membantu ramai pelajar bagi mengetahui cara atau kaedah untuk memohon pinjaman pendidikan ini bagi menanggung perbelanjaan semasa di universiti. Seterusnya, pada 10 Oktober 2022 program bersama fakulti masing-masing telah dirangka dan saya sebagai pelajar pentadbiran perniagaan telah ke Fakulti Ekonomi dan Pengurusan buat pertama kali. Saya dapat melihat kawasan-kawasan di sekitar fakulti serta dewan-dewan kuliah yang akan menjadi tempat belajar saya sehingga tamat pengajian nanti. Sesi interaksi bersama beberapa pensyarah telah dijalankan bagi pelajar-pelajar bertanyakan soalan mengenai subjek dan kaedah pembelajaran di UKM. Pada sebelah malam pula, semua pelajar beragama islam diwajibkan untuk ke masjid bagi mengikuti program Malam Cinta Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul pada waktu itu. Melalui program tersebut banyak ilmu-ilmu baharu yang dapat diperoleh bagi menempuh kehidupan saya di universiti ini. Bagi pelajar yang bukan beragama islam aktiviti lain telah dijalankan untuk mereka iaitu Forum Jati Diri di DECTAR. Pada hari keempat orientasi aktiviti senamrobik telah dijalankan di Dewan Gemilang serta aktiviti perbarisan antara kolej turut dijalankan. Pada hari terakhir minggu orientasi tersebut semua pelajar diwajibkan memakai pakaian seragam yang telah ditetapkan bagi bacaan ikrar sebagai Masiswa UKM di DECTAR. Konsert Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta merupakan majlis penutup bagi MAW dan majlis tersebut dijalankan dengan penuh semangat dan hebat. Hal ini kerana, terdapat pelbagai jenis tarian yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar tahun 1 yang baru memasuki UKM.


 

 










Comments

Popular posts from this blog

MINGGU PERTAMA DI UKM ( SARAH AYU )

MINGGU PERTAMA DI UKM ( AISYAH )